Ini hasil karya lukisanku yang berjudul “ Segar “ telah siap pada 23 Oktober 2009, dengan menggunakan bahan “ water Colour”.
Ketika itu fikiranku melayang jauh mengenangkan ayah dan ibuku yang telah lama pergi meninggalkanku dan tak akan kembali lagi. Pabila aku merenung gambar itu teringat akanku kebaikan hati seorang ayah. Ketika itu aku diserang sakit demam yang agak teruk juga. Tekakku tidak dapat menerima sebiji nasi pun.
Pahit sekali . Yang terlintas di mindaku , Aku mahu makan buah anggur.!..... Waktu itu buah anggur adalah hidangan orang bangsawan. Mahal…! Manalah dapat ayahku membelinya dalam keadaan yang sedang gawat itu.
Aku menangis tak henti-henti, mogok tidak mahu makan apa-apa. Coba kalian bayangkan bagaimana perasaan hati seorang ibu dan ayahku ketika itu, jelas sekali dalam poket seluar ayahku cuma ada beberapa helai wang kertas bernot RM satu ringgit dan ketika itu hari hampir petang. Aku tetap menangis, sehingga tertidur.
Bila ku sedar , jelas sekali di hadapanku selonggok buah anggur berwarna merah dan hitam terhidang di dalam pinggan. Tanpa berlengah lagi aku terus mencapainya lalu makan dengan lahap seperti orang tak makan sepuluh hari. Ketika itu aku tidak sedar ibu dan ayahku sedang memerhatikan aku dengan mata yang bergenangan
dengan air mata kasih. Waktu itu aku tidak tahu dan tidak pernah ambil tahu pun akan kesusahan hidup keluargaku, kerana segala apa yang ku pinta pasti dapat. Adakah kalian ingin tahu bagaimana ayah dan ibuku memperolehi wang membeli buah anggur untukku? Oh ya…! Tunggu!................cerita selanjutnya pada masa akan datang.